Kesesakkan aliran trafik menghala ke Pantai Timur berikutan orang ramai mula pulang ke kampung sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lebuhraya Karak. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Keadaan trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak mengalami kesesakan luar biasa terutamanya di kawasan Plaza Tol Gombak sejak pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, ratusan kenderaan berpusu-pusu meninggalkan ibu negara bersempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Situasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah turut dipenuhi dengan orang ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman dan bercuti pada hujung minggu yang panjang.

Kesesakkan aliran trafik di Hentian Genting Sempah melalui Lebuhraya Karak berikutan orang ramai mula pulang ke kampung sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hentian Genting Sempah, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2022.

Dalam pada itu, beberapa pengguna turut membuat ciapan di laman Twitter dan berkongsi gambar yang memaparkan keadaan trafik sesak teruk bermula dari Plaza Tol Gombak.

Berdasarkan ciapan yang dikongsi, pengguna lebuh raya berkenaan mengeluh apabila terpaksa mengambil masa hampir empat jam untuk sampai ke Plaza Tol Bentong sejak pukul 12 tengah hari tadi.

Manakala seorang lagi pengguna memaklumkan kenderaan bergerak perlahan dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke terowong Genting Sempah dari Plaza Tol Gombak.

Sementara itu, tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pula mendapati suasana di terminal berkenaan sesak dengan orang ramai yang beratur panjang bagi urusan pembelian tiket di kaunter.

Orang ramai beratur panjang untuk membeli tiket di kaunter ketika tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan.

Namun, keadaan tersebut terkawal dan dipantau rapi oleh kakitangan yang bertugas.

Kesempatan cuti perayaan yang bermula hari ini sehingga Rabu depan itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh orang ramai terutamanya para pelajar untuk pulang ke kampung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast