Zeti Zanariah Masiran

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tebrau, Mazlan Bujang keluar parti itu sedikit pun tidak melemahkan semangat juang Srikandi.

Malah, sayap parti PPBM itu akan tetap fokus untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Srikandi Bahagian Tebrau, Zeti Zanariah Masiran berkata, sebagai ketua sayap, beliau menghormati keputusan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu.

“Kami tetap meneruskan perjuangan parti dan akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini diwakili Mazlan sebagai wakil rakyat Bersatu.

“Kami juga hendak menyatakan, Srikandi Bahagian Tebrau tetap setia kepada parti dan berdiri teguh bersama Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Khamis lalu, Mazlan membuat kejutan dengan meletak jawatan Ketua Bahagian PPBM Tebrau, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Beliau yang merupakan bekas Pengerusi PPBM Johor, tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, tetapi menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut Zeti Zanariah, sebagai sayap parti, mereka tidak sesekali berkompromi dengan individu yang hanya berjuang atas agenda peribadi melebihi perjuangan parti.

“Malah, kami tetap dengan perjuangan asal parti PPBM untuk melawan korupsi dan kleptokrat.

“Saya menyeru semua ahli PPBM Bahagian Tebrau di semua peringkat untuk sama-sama bekerja dan mempersiapkan jentera pilihan raya di setiap cawangan, lokaliti dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Ini sebagai persiapan dan persediaan kita memenangkan parti dalam PRN Johor yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette