Logo SWM Environment

MELAKA –  Perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan beroperasi seperti biasa sepanjang cuti umum perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, seramai 1,216 petugas dengan 250 buah jentera termasuk lori kompaktor, lori terbuka (tipper) dan lori Roll-On Roll-Off (RoRo) akan bertugas.

Menurutnya, SWM Environment telah menyusun tenaga kerja serta jentera yang mencukupi bagi memastikan kutipan sisa pepejal sepanjang tempoh perayaan ini dapat beroperasi seperti biasa.

Tumpuan diberikan kepada lokasi-lokasi utama yang mempunyai bilangan penduduk kaum Cina yang ramai agar tidak berlaku masalah longgokan sampah tambahan yang banyak dan tidak terkawal.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata, masyarakat juga boleh melakukan perubahan pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini dengan mempraktikkan beberapa langkah mudah ke arah mewujudkan ‘konsep perayaan lestari’.

Antaranya dengan mengamalkan pengasingan sisa di punca dan 3R (kurangkan janaan sisa, guna semula dan kitar semula) semasa melakukan aktiviti mengemas kediaman.

Selain itu, orang ramai turut disaran menggunakan peralatan dan bekas guna semula sekiranya mahu menghidangkan atau membungkus juadah perayaan.

Meskipun langkah-langkah ini nampak kecil, tetapi mampu memberi impak besar kepada kelestarian alam sekitar dalam jangka masa panjang.

Sebagai galakan kepada penduduk di Melaka untuk melakukan aktiviti kitar semula, SWM Environment telah memperkenalkan program KITARecycle yang membolehkan ahli berdaftar memperolehi mata ganjaran.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyemak jadual perkhidmatan kutipan 2+1 SWM Environment di papan tanda kawasan perumahan masing-masing atau di laman web www.swm-environment.com dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.-MalaysiaGazette