Rakaman video yang tular berkaitan booster dikatakan tidak perlu diberi pada mereka yang sihat.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum berkenaan video tular berhubung kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berhubung dos ketiga (booster) tidak perlu diambil bagi mereka yang sihat.

KKM dalam satu kenyataan berkata, rakaman video tersebut adalah pada 20 September 2021 iaitu ketika Khairy dalam rangka tinjauan perkhidmatan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Pada waktu itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos pertama dan dos kedua masih giat dilaksanakan.

“Kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah 79.6 peratus, masih belum mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa.

“Pada masa sama, aktiviti rentas negeri masih belum dibenarkan manakala aktiviti keluar masuk negara juga masih dikawal ketat,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook KKM hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, pemberian booster secara menyeluruh belum lagi bermula pada September 2021.

“Pemberian dilaksanakan secara berperingkat dengan memberikan keutamaan pada ketika itu kepada golongan rentan terdiri dari warga emas, mereka yang ada ko-morbid dan golongan yang terdedah kepada isiko jangkitan.

“Hanya setelah majoriti golongan tersebut telah menerima booster, barulah vaksinasi booster dibuka kepada populasi awam yang layak,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan KKM berkaitan video tersebut yang dimuat naik di Facebook rasmi KKM hari ini.

Dalam pada itu, KKM berkata, pemberian booster kini diperlukan berdasarkan perkembangan semasa pemantauan keberkesanan vaksin serta cabaran yang dihadapi dengan kemunculan varian-varian baru virus Covid-19.

Banyak negara yang tawarkan booster kepada populasi dewasa mereka seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, dan Singapura.

Sebelum ini sebuah video suntingan MalaysiaGazette bertarikh 20 September 2021 tular selepas Khairy memaklumkan tiada keperluan booster diberikan kepada mereka yang sihat.

Video berdurasi 59 saat tular selepas pengambilan booster kini perlu diambil oleh semua lapisan masyarakat kecuali atas faktor kesihatan dan nasihat doktor. – MalaysiaGazette