Mohd Ridzuan bersama Abdul Halim meninjau harga barangan mentah di Pasar Awam Tanjung Bungah, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Ketegasan dan kecekapan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang membongkarkan penyelewengan minyak masak paket didalangi pemborong berjaya menurunkan jumlah aduan berhubung isu kekurangan barang mentah bersubsidi itu di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, bekalan minyak masak paket di negeri ini mencukupi dan tiada aduan diterima pihaknya mengenai gangguan bekalan barangan kawalan tersebut.

Mohd Ridzuan.

Jelas beliau, dua perkara menjadi keutamaan aduan tersebut berkurangan iaitu penyelewangan terhenti akibat operasi yang dilakukan dan bekalan minyak masak cukup, sekali gus sampai ke peringkat pengguna. 

“Sejak awal Januari kita dapati aduan mengenai kekurangan bekalan minyak masak turun mendadak dan kita tidak menolak kemungkinan ia susulan daripada pemeriksaan dan operasi yang dijalankan terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan bahan mentah itu.

“Selain itu, kuota minyak masak paket bersubsidi bagi Pulau Pinang ialah sebanyak 3,434,000 kilogram sebulan mampu menampung permintaan penduduk negeri ini.

“Jadi tiada keperluan untuk menambah kuota tersebut sebaliknya kita kena pastikan tiada penyelewangan berlaku agar pengguna dapat manfaat subsidi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina bersama Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain di Pasar Awam Tanjung Bungahdi sini, hari ini.

Menurut beliau, bagi tempoh Januari tahun ini sebanyak 4,011 pemeriksaan dilakukan dan dua kertas siasatan dibuka membabitkan minyak masak paket di bawah Akta Kawalan Barang.

Pada majlis itu, sebanyak 18 barang diklasifkasikan di bawah SHMMP termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import, telur ayam gred A, B dan C, ikan bawal putih, udang putih serta daging babi berkuatkuasa selama tujuh hari bermula 29 Januari hingga 4 Februari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan telur ayam di Pulau Pinang.

Jelas beliau, bekalan telur ayam di negeri ini mencukupi.

“Isu kekurangan bekalan telur ayam berlaku di seluruh negeri susulan pemintaan mendadak namun pengeluarannya kurang.

“Kita jangkakan isu ini akan selesai dalam tempoh terdekat cuma pengguna mungkin tidak dapat beli dalam kuantiti yang banyak buat masa ini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast