Mohd. Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah akui menawarkan diri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan nanti.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang akan ditandingi ketika ditanya media mengenai perkara itu.

Ini kerana perkara itu masih dalam perbincangan.

“Setakat ini apa yang boleh saya katakan, saya telah pun kenal pasti dua atau tiga kerusi DUN yang berkemungkinan akan saya ditandingi, tetapi buat waktu ini perkara itu biarlah rahsia, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama Makkal Sakti di Hotel Granada, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Hairi turut berharap Barisan Nasional (BN) akan meletakkan sehingga 30 peratus calon Pemuda  daripada keseluruhan kerusi ditandingi UMNO dalam PRN Johor.

Tindakan itu dilihat tepat dengan pertambahan bilangan pengundi baharu, termasuk pengundi Muda berusia 18 tahun.

“Bagi pemuda UMNO Johor sendiri, saya mengharapkan seramai 50 calon muda daripada sayap ini diberikan peluang untuk ditandingi walaupun kita akui sukar kerana sayap Wanita dan Puteri juga mahu meletakkan calon mereka.

“Jadi kami harapkan 20 hingga 30 peratus calon daripada Pemuda UMNO Johor akan dibariskan dalam PRN ini bagi memberi idea baharu buat parti dan kerajaan negeri yang akan ditubuhkan nanti,”katanya.

Kata Hairi lagi, penglibatan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam PRN Johor bukanlah ancaman kepada UMNO kerana pengundi  bijak membuat keputusan untuk kemakmuran dan kemajuan di Johor kelak. – MalaysiaGazette