Cawangan MR D.I.Y di Pavilion Bukit Jalil

KUALA LUMPUR – Cawangan peruncit perkakasan rumah, MR. D.I.Y. membuka cawangannya ke-800 di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dengan ruang seluas 18,000 kaki persegi, cawangan itu menawarkan kira-kira 18,000 produk dalam lima kategori utama (perkakasan, keperluan rumah dan perhiasan, peralatan elektrik, alat tulis serta peralatan sukan) kepada pelanggan dalam suasana membeli-belah yang selesa.

Selain itu, cawangan tersebut juga mempunyai format kedai-dalam-kedai untuk MR. TOY, yang menawarkan pelanggan barangan permainan yang memberi lebih nilai untuk wang seiring dengan slogannya ‘Always Low Prices, Always Fun’.

Ketua Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh berkata, pembukaan cawangan ini merupakan pencapaian yang bermakna buat jenama ini.

”Kami telah membuka cawangan pertama pada tahun 2005 di sebuah lot kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kini, 17 tahun kemudian, kami meraikan pembukaan cawangan yang ke-800.

Segala kejayaan dan pencapaian kami adalah hasil sokongan berterusan rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat serta lebih 11,000 kakitangan kami di
seluruh negara,” katanya.