Ibu Pejabat Keadilan di Merchant Square, Petaling Jaya dicemari dengan poster Pakatan Harapan (PH) Penindas Kakitangan Awam.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Penindas Kakitangan Awam, itu antara kandungan poster yang digantung di beberapa lokasi berasingan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dipercayai dipasang pihak tertentu sejak malam semalam.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, perang poster itu melibatkan lebih 20 lokasi penting termasuk pentadbiran kerajaan, pejabat pihak berkuasa, institusi perubatan, pusat pendidikan, pejabat parti politik, pejabat media dan medan selera.

Poster Pakatan Harapan (PH) Penindas Kakitangan Awam.

Lebih memeranjatkan apabila poster itu didakwa dipasang di belakang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pagar Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Balai Polis Putrajaya dan masjid berhampiran IPD Subang Jaya.

Poster yang terpampang wajah tiga pemimpin pembangkang mirip Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim digantung di persimpangan ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) atau pejabat SUK Selangor, pejabat Perbendaharaan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Jalan Duta, di sini.

Selain itu, poster itu turut dipasang di pagar Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mahkamah Kajang, bulatan depan pintu utama Universiti Tenaga Nasional (Uniten), pintu masuk Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kg Datuk Abu Bakar Baginda.

Selain itu, poster itu didakwa turut dipasang di Precint 14, Persiaran Diplomatik, berhampiran food truck dan pasaraya Mydin, Putrajaya.

Jejantas berhampiran Hospital Shah Alam dicemari dengan poster Pakatan Harapan (PH) Penindas Kakitangan Awam.

Antara hospital yang menjadi sasaran poster ini ialah berhampiran persimpangan Hospital Serdang, jejantas bersebelahan Hospital Shah Alam dan pagar utama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pintu masuk ke Medan Selera Tanglin Kuala Lumpur dicemari dengan Poster Pakatan Harapan (PH) Penindas Kakitangan Awam.

Tidak terkecuali jejantas Puchong Intan, persimpangan masuk ke ibu pejabat The Star, hadapan pagar ibu pejabat PKR, Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas dan Medan Selera Tanglin, di sini.

Setakat ini, tiada mana-mana pihak yang bertanggungjawab menggantung poster terbabit. – MalaysiaGazette