Zailani Hashim

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membatalkan atau menggantung permit institut memandu (IM) sekiranya ramai pemegang lesen yang dilatih mereka didapati melakukan kesalahan trafik dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, langkah itu akan dilaksanakan dengan   meletakkan  kod pada lesen yang dikeluarkan  ini bagi mengesan daripada institut memandu mana pesalah trafik itu menerima latihan.

Bagaimanapun, beliau berkata kaedah itu masih dalam peringkat cadangan dan dijangka disenaraikan di bawah sistem e-Testing yang bermula di seluruh negara April tahun ini.

“Kita akan buat satu jejak audit apakah kesilapan atau apa-apa yang tidak betul sama ada infrastruktur yang tidak lengkap atau apakah sebab hingga disaman dan dibuat dalam konsep pendigitalan JPJ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) Baharu dan Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) di Akademi Memandu Anda Sdn Bhd, Melor, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Muhammad Kifli Ma Hassan, Pemangku Pengarah JPJ Kelantan Nik Azahan Ab Hadi dan Pengarah Urusan Akademi Memandu Anda Sdn Bhd, Kamaruddin Hassan.

Mengulas lanjut Zailani berkata berdasarkan rekod sedia ada terdapat 10,569 pengajar SPIM di Malaysia disijilkan selari dengan Kaedah 11 (4) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992.

“Walau bagaimanapun terdapat lebih kurang 1,779 permohonan tertunggak yang masih belum diselesaikan akibat daripada sekatan aktiviti program seperti pelaksanaan kursus, seminar, bengkel, latihan dan ceramah yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik yang direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia dan JPJ sebanyak 80 peratus punca kemalangan jalan raya adalah sebabkan faktor kecuaian oleh manusia.

Katanya, kebanyakan yang terlibat dalam kemalangan adalah motosikal iaitu lebih 60 peratus. – MalaysiaGazette