sprm
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawai badan ini melakukan intimidasi terhadap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

SPRM telah menerima dua aduan terhadap ahli Parlimen berkenaan dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

“SPRM ingin menegaskan proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.

“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat.

“SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat,” kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, bekas Menteri Pendidikan itu menyifatkan siasatan SPRM terhadap dirinya dan beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam sebagai satu bentuk intimidasi.

Dakwanya, beliau difahamkan bahawa SPRM turut menyoal siasat beberapa pegawai di Kementerian Pendidikan yang didakwanya sebagai usaha untuk mencari kesalahan terhadap dirinya.

Dalam pada itu, siasatan yang dijalankan SPRM berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan.

“SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini,” katanya kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast