Sunther Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Hilang sebentar kemudian membuat kejutan dengan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC), Datuk Sunther Subramaniam sememangnya seperti tidak boleh lari daripada politik.

Sunther yang dikatakan akan akan bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang dengan menggunakan tiket parti yang berpangkalan dari Sabah itu berkata, beliau cuba menumpukan kepada  perniagaan namun perjuangan kebajikan rakyat kembali hadir.

“Mungkin darah yang mengalir dalam badan saya ini sudah biasa dengan dunia politik, bersama masyarakat perjuangkan kebajikan dan keperluan mereka selama ini. Saya membesar dengan melihat bapa saya siang malam berjuang untuk masyarakat, untuk negara.

“Saya fikir jiwa saya bukan sesuai untuk politik, menyertai Warisan juga bukan sesuatu yang telah saya rancang, sebaliknya datang sendiri kepada saya ketika rakyat sedang berdepan dengan keadaan pandemik kesihatan dan ekonomi,” kata anak kepada Timbalan Presiden MIC, Tan Sri S Subramaniam kepada MalaysiaGazette, semalam.

Tambahnya, beliau yang tidak terfikir untuk menyertai parti politik bagaimanapun pelawaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meyakinkannya terhadap visi dan hala tujunya parti tersebut.

Sunther yang pernah menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC selama dua penggal memberitahu, negara ini memerlukan parti berbilang kaum dan kini Malaysia sedang melalui fasa perubahan dan cabaran yang memerlukan rakyatnya bersatu.

“Dalam kalangan rakyat, kaum atau kepercayaan sudah tidak lagi menjadi batu penghalang untuk tidak menghulurkan bantuan. Sebagai contoh, musibah banjir. Yang jadi mangsa, rakyat tidak kira kaum, yang bantu juga dari pelbagai latar belakang,” ujarnya.

Menurut Sunther, beliau telah meminta restu terutama pimpinan serta penyokong bapanya sebelum keluar MIC sebelum menyertai Warisan yang mempunyai ramai pemimpin yang telah lama menceburi dunia politik.

Tambah Sunther, beliau yang Warisan akan memberi impak pada PRU akan datang dan penyertaan dalam parti itu bukan kerana gila kuasa.

Malah, beliau yakin  lebih ramai tokoh politik, ahli korporat serta golongan profesional akan menyertai Warisan selepas ini, sekali gus memberi saingan sengit pada PRU akan datang. – MalaysiaGazette