Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dipengerusikan Tan Sri Mohamad Apandi Ali telah diserahkan kepada kerajaan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan perintah perlindungan bagi menghalang masyarakat umum mengakses semua bahan eksibit dalam saman pertikaian Pulau Batu Puteh dengan Singapura.

Permohonan itu dikemukakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan kerana mendakwa kesemua dokumen tersebut diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusuf membuat ketetapan itu selepas hujah kedua-dua pihak, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi.

Manakala peguam Mohaji Selamat mewakili Mohd Hatta Sanuri, yang mendakwa beliau mewakili 32 juta rakyat Malaysia.

Keputusan itu bermakna hanya pihak yang terlibat dengan saman tersebut dan pasukan peguam mereka, saksi pendengaran dan pihak tertentu dengan kebenaran mahkamah dapat mengakses dokumen berkenaan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei lalu, Mohd Hatta, 45, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018, sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Mohd Hatta turut memohon deklarasi kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia, termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Februari 2017 sehingga defendan-defendan menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.

Pada 2008, ICJ memutuskan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca adalah milik Singapura manakala Terumbu Karang Tengah milik Malaysia dan Terumbu Karang Selatan pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia berada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast