Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 bagi minggu keempat tahun ini meningkat sebanyak 34.6 peratus.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kadar kes kematian didapati menurun 27.5 peratus.

“Bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-4 yang bermula dari 23 Januari 2022 sehingga 29 Januari 2022, jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan adalah 31,980 kes berbanding ME sebelumnya.

“Jumlah kes kematian pula menunjukkan penurunan sebanyak 27.5 peratus dengan purata kes aktif adalah sebanyak 46,158 kes. Selain dari itu, jumlah kes sembuh Covid-19 yang dilaporkan pada ME ke 4 turut menunjukkan peningkatan sebanyak 20.9 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kes aktif turut meningkat sebanyak 14 perayus dengan purata sebanyak 40,472 kes pada ME ketiga kepada 46,158 kes ME keempat.

Tambah Noor Hisham, purata kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan sebanyak 15.5 peratus iaitu 109 kes (ME 4) berbanding 129 kes (ME 4).

“Penurunan kes ICU secara konsisten telah dilaporkan sejak ME 33/2021 dengan sedikit peningkatan pada ME 44/2021 dan penurunan semula kes ICU dicatatkan sejak 11 minggu lalu iaitu pada ME 45/2021.

“Selain itu, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan sebanyak 11.5 peratus iaitu 46 kes pada ME 4 berbanding 52 kes pada ME 3. Purata ini kekal menunjukkan tren penurunan semenjak 23 minggu yang lalu pada ME 33/2021,” jelas Noor Hisham.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata, sejumlah 3,232 kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 direkodkan hari ini.

Ia menjadikan kes kumulatif bagi pesakit sembuh daripada Covid-19 2,784,003 kes.

Sejumlah 4,774 kes positif direkodkan hari ini dengan 152 adalah kes import dengan melibatkan 76 warganegara dan 76 lagi bukan warganegara.

“Daripada 4,774 kes harian yang dilaporkan pada hari ini 36 kes (0.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,738 kes (99.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” kata Noor Hisham.

Daripada jumlah itu, 4,622 kes adalah penularan tempatan dengan 4,448 kes adalah melibatkan warganegara dan 174 bukan warganegara.

Dalam pada itu, sejumlah 114 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 106 daripada disahkan positif Covid-19 dan lapan yang lain kes yang disyaki.

Lebih lanjut, 62 kes yang disahkan positif Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selain itu, sebanyak 14 kluster baharu dikesan menjadikan 314 kluster yang masih aktif. – MalaysiaGazette