Gambar hiasan

SHAH ALAM – Tidak menggunakan laluan motosikal, itu antara kesalahan lalu lintas paling banyak ditemui dan dikenakan kompaun sepanjang empat hari Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina 2022 yang dilakukan sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesalahan itu dikesan di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dari Klang menghala ke Shah Alam.

“Kalau kita lihat pada hari ini banyak motosikal yang tidak mematuhi peraturan kerana tidak menggunakan lorong motosikal yang disediakan.

“Sejak jam 4 petang tadi, sudah ada 250 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya (penunggang motosikal).

“Mereka ini enggan mematuhi peraturan tidak mahu memasuki lorong motosikal yang disediakan untuk keselamatan semua pihak,” katanya pada sidang media di tapak Plaza Tol Sungai Rasau, Lebuhraya Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina 2022 ialah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat.

Anggota polis memeriksa motosikal dan mengeluarkan saman terhadap pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan pada Op Bersepadu sempena Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina 2022 di Tapak Tol Roboh Sg. Rasau, Lebuhraya Persekutuan. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2022.

Dalam pada itu, Polis Selangor juga telah mengenal pasti beberapa laluan di seluruh Selangor yang merupakan lokasi bintik hitam atau tempat yang selalu berlaku kemalangan.

“Lokasi itu adalah laluan selain lebuh raya iaitu di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah dan Jalan Meru di Klang, Persiaran Surian, Petaling Jaya dan Jalan Nilai ke Bukit Changgang di Sepang.

“Turut dikenalpasti di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MMR2) di Ampang Jaya serta Jalan Klang ke Banting.

“Ini laluan utama yang kita juga beri tumpuan dalam operasi kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast