tertiary education graduates convocation universities UTHM
Gambar hiasan

BARU-baru ini agak kecoh berkenaan kenyataan seorang Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat berkenaan ‘kehairanan’ beliau tentang penganugerahan ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). Artikel yang ditulis oleh beliau sendiri yang disiarkan pada 18 Januari 2022 mendapat reaksi yang pelbagai daripada kelompok masyarakat yang datang dari kelompok akademia mahupun bukan akademia.

Banyak juga kelompok masyarakat khususnya netizen yang membetulkan fakta dan menangkis dakwaan seperti yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen terbabit.
Penulis ingin menyatakan beberapa perkara bagi menjawab persoalan yang diutarakan oleh beliau. Pertama, beliau mempersoalkan bilangan pensyarah sedia ada sama ada cukup atau tidak untuk melaksanakan tugas penyeliaan pelajar PhD. Kedua beliau mempersoalkan adakah pelajar-pelajar PhD ini diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya.

Menjawab kepada yang pertama dan kedua, umum mengetahui dalam konteks Malaysia, ijazah PhD merupakan ijazah tertinggi akademik yang dianugerahkan oleh sesebuah universiti yang sememangnya telah melalui pelbagai proses untuk mendapatkan kelayakan pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia atau MQA. Ia melibatkan proses yang sangat panjang dan cukup rumit apabila sesebuah fakulti atau universiti ingin menawarkan sesebuah program baru termasuk program ijazah PhD dalam bidang-bidang tertentu.

Dari segi bilangan pensyarah sama ada cukup atau tidak untuk melaksanakan tugas penyeliaan pelajar PhD, ia bergantung kepada jumlah sebenar pensyarah dalam sesuatu jabatan atau fakulti tersebut yang mempunyai kelayakan akademik tertinggi iaitu PhD. Pendek kata, hanya penyelia yang mempunyai PhD sahaja yang dibenarkan untuk menyelia dan menjadi penyelia utama bagi pelajar PhD.

Bagi pensyarah yang mempunyai kelayakan sarjana, setakat pengetahuan penulis memang ada penyeliaan terhadap pelajar PhD namun pensyarah yang dipertanggungjawabkan itu sudah berada pada tahap akademik yang sangat terkemuka mutunya iaitu pada tahap Profesor. Jadi bukan sesuatu yang janggal apabila seseorang Profesor tanpa PhD menyelia pelajar PhD kerana ia mengambil kira pengalaman akademik yang sangat luas dimiliki oleh Profesor tersebut yang melayakkan beliau untuk menjadi penyelia utama kepada pelajar PhD.

Namun perkara ini jarang-jarang berlaku, sekiranya ada pensyarah yang berkelayakan sarjana dan mempunyai pengalaman mengajar yang lama di sesebuah universiti tersebut biasanya akan diberi peluang untuk menjadi penyelia bersama atau mungkin menganggotai ahli jawatankuasa penyeliaan PhD. Ada juga amalan di sesetengah universiti yang mensyaratkan tempoh minimum bagi seseorang pensyarah yang baru sahaja selesai pengajian PhD untuk menyelia pelajar PhD. Ini bermakna, sebaik sahaja seseorang pensyarah itu tamat PhD, tidak secara automatik diberikan tanggungjawab untuk menjadi penyelia utama.

Mungkin beliau perlu menunggu 3 ke 5 tahun untuk belajar terlebih dahulu dan menimba pengalaman sebagai penyelia bersama sehinggalah cukup tempoh matang untuk menjadi penyelia utama. Merujuk kepada UPM yang telah menghasilkan graduan PhD sekitar 400 orang pada Majlis Konvokesyen baru-baru ini, pada hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang pelik. UPM merupakan salah sebuah universiti yang tertua di Malaysia dan juga satu daripada lima universiti penyelidikan utama di Malaysia. Bilangan fakulti di UPM Kampus Serdang sahaja mencecah 15 fakultimanakala mempunyai lebih kurang 11 pusat penyelidikan yang kesemuanya menawarkan pengajian pascasiswazah peringkat Sarjana dan PhD dan majoriti ahli akademik di UPM mempunyai kelayakan PhD.

Seperti yang penulis katakan tadi, pensyarah yang mempunyai PhD dan biasanya golongan Pensyarah Kanan, Profesor Madya dan Profesor dibenarkan menjadi penyelia utama. Jadi jika mengikut dakwaan Ahli Parlimen tersebut bahawa ‘Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu’ bermaksud 400 graduan PhD itu telah diselia sebanyak lebih kurang 400 pensyarah pelbagai pangkat (Pensyarah Kanan, Profesor Madya & Profesor), jawapannya logik sahaja dengan mengambil kira kapasiti tenaga akademik yang wujud dalam 15 fakulti dan 11 institut penyelidikan di UPM sahaja ! (ini mengambil kira jumlah minimum kakitangan akademik fakulti di UPM sebanyak 50 orang tetapi realitinya adalah lebih 50 orang).

Malah bukan sesuatu yang pelik jika hendak dibandingkan dengan universiti penyelidikan yang lain. Pengalaman penulis bergraduasi PhD pada tahun 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyaksikan jumlah yang besar bergraduan sekitar 500-600 orang yang datang daripada 13 fakulti dan 12 institut penyelidikan. Juga di universiti yang muda usianya seperti Universiti Sains Islam Malaysia telah melahirkan 70 graduan PhD pada Majlis Konvokesyen 2021 dan pernah melahirkan jumlah graduan PhD sebanyak 113 orang pada Majlis Konvokesyen 2018 (USIM hanya mempunyai 9 buah fakulti dan hanya mempunyai satu institut yang menawarkan pengajian pascasiswazah yang lalu.

Pokok pangkalnya bukanlah jumlah graduan banyak atau tidak yang menjadi polemik untuk dihangatkan tetapi adakah penghasilan graduan PhD mampu memberikan sumbangan yang signifikan kepada masyarakat dan negara ?. Penulis berpendapat isu graduan PhD yang masih menganggur dan tidak mendapat pekerjaan tetap wajar diambil cakna oleh Ahli Parlimen tersebut daripada sibuk mempertikaikan jumlah graduan PhD yang dihasilkan oleh Universiti Awam yang sememangnya sudah ada penarafan standard yang tertentu diambil kira dan tidak ada kompromi tentang isu kualiti.

Nasihat penulis, cukup-cukuplah berpolitik dan selidiklah terlebih dahulu fakta-fakta yang ingin dikemukakan untuk tatapan awam. Eloklah untuk memikirkan tentang nasib rakyat yang sedang terbeban dengan kegawatan ekonomi pasca COVID-19, yang kehilangan pekerjaan dan sebagainya yang perlu diambil berat oleh ahli politik seperti Yang Berhormat !! Hentikan mitos wahai sang politikus !!

Oleh: Dr Mohd Adi Amzar Muhammad Nawawi
Pensyarah Kanan
Program Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam
Fakulti Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia