Mohd Nizar (tengah) bertanyakan sesuatu kepada Mohammad Shatar (kanan) di reruai MQA pada Program Outreach BKPA-UiTM 2022 @Perak Tengah di Parit, Perak, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pelajar luar bandar yang terdiri daripada golongan B40 disaran untuk mengambil peluang mengikuti Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) bagi meningkatkan tahap akademik.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, menerusi program itu, pelajar terpilih bukan hanya dibantu masuk dan belajar di peringkat pengajian tinggi, malah golongan itu akan turut diberi biasiswa, kemudahan dan motivasi sehingga membantu mereka mendapatkan pekerjaan selepas bergraduat.

Katanya, objektif program diperkenalkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad itu ialah untuk membangunkan golongan siswa B40 serta mengubah nasib keluarga mereka dengan mewujudkan orang pertama dalam sesebuah keluarga melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

“Diharap masyarakat di luar bandar mengambil kesempatan ini bagi mengubah landskap ekonomi keluarga selepas ada dalam kalangan keluarga mereka pada masa akan datang.

“Buat permulaan, program yang diletakkan di bawah strategi ketujuh dalam Amanat Tahun 2022 ini akan dilaksanakan di Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di Program Outreach BKPA-UiTM 2022 @Perak Tengah, di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu bertujuan menyebar luas peluang yang boleh ambil oleh pelajar terutama dari luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Program dua hari itu disertai institusi pengajian tinggi (IPT) dari sekitar Perak termasuk UPSI, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), UiTM Perak, Kolej Komuniti dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang datang spesifik untuk merekrut lebih ramai kadet.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof Sr Dr Md Yusof Hamid; Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Wahi Nordin; ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah dan Pegawai Pendidikan Daerah Perak Tengah, Mohd Fathilah Mohd Noor.

Sementara itu, Wahi berkata, bagi menjayakan Program Sulung, pihak BKPA Jabatan Pendidikan Tinggin (JPT) akan mengenal pasti calon yang membuat permohonan sama ada dalam kategori B40 atau sebaliknya.

Katanya, BKPA mengorak langkah dengan menambah dua soalan dalam borang permohonan UPUonline sesi 2022/ 2023 bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai abang atau kakak yang sudah melanjutkan pengajian ke universiti.

“Kedua, calon perlu menjawab mereka anak ke berapa daripada pertama hingga kesembilan atau selebihnya bagi mengenal pasti calon adakah yang pertama dalam kalangan adik beradik atau sulung memasuki universiti.

“Kita akan berbincang dengan universiti yang menjayakan program supaya menawarkan program bersesuaian berdasarkan kelayakan calon ini dengan data yang ada pada permohonan kemasukan,” katanya. – MalaysiaGazette