Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan ke atas tiga portal berita yang didakwa memanipulasikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya yang mengesahkan perkara itu berkata, ia turut membabitkan sebuah blogspot.

“Saya sahkan laporan telah diterima petang tadi (tiga portal manipulasi kenyataan PM),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus membuat laporan polis terhadap tiga portal berita yang didakwa membuat laporan fitnah terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Mohammad Amuar berkata, laporan portal berita tersebut tidak benar sama sekali dan bersifat fitnah semata-mata.

Menurut Noor Dellhan, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah beliau, jika wujud keperluan kakitangan terbabit ketiga-tiga portal berita itu akan dipanggil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Kenyataan Ismail Sabri dimanipulasikan, tiga portal fitnah PM