Gambar Hiasan

JERTIH – Sepuluh orang termasuk dua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun cedera apabila bot pelancong yang mereka naiki bertembung dengan bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, 21 lagi individu yang menaiki bot pelancong tersebut terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu.

“Bot yang dinaiki pelancong tersebut berlepas dari Jeti Pulau Perhentian pada pukul 2.30 petang dan insiden itu berlaku setibanya mereka di Jeti Pelancongan Kuala Besut kira-kira satu jam kemudian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, lima anggota Polis Diraja Malaysia, lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berserta orang awam terlibat dalam operasi menyelamat mangsa.

Abdul Rozak berkata, insiden tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, difahamkan insiden berlaku ketika bot pelancong tersebut sedang memasuki kawasan jeti, manakala bot yang dinaiki tiga nelayan ingin keluar dari kawasan itu.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan menerima rawatan di Hospital Besut serta Klinik Kesihatan Kuala Besut,” katanya. – Bernama

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast