Baharom (tengah) berbual dengan pelajar yang menerima bantuan Back To School di Penaga, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Co-opbank Pertama (CBP) meneruskan komitmen menyantuni golongan B40, asnaf dan fakir miskin dengan memberikan bantuan berupa wang tunai dan bekalan makanan asas bagi meringankan beban mereka.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, bantuan yang diberikan kepada golongan memerlukan ini adalah menerusi program Touch-Point, agihan kotak rezeki dan juga Back To School untuk pelajar-pelajar daripada kumpulan yang dinyatakan.

Baharom.

“Menerusi program Touch-Point yang diadakan pada hari ini, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) CBP telah turun padang dalam menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan kotak makanan asas kepada keluarga B40.

“Objektif program Touch Point ini adalah bagi menyediakan bekalan makanan asas dan juga sedikit sumbangan wang tunai kepada golongan asnaf, fakir, miskin dan B40 yang menetap dalam lingkungan berhampiran dengan cawangan CBP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Agihan Kotak Rezeki dan Back To School di Masjid Jamek Permatang Rambai, Penaga, di sini, hari ini.

Tambah Baharom, menerusi program Back To School pula, CBP telah membuka membuka akaun simpanan-i Salam MyStar kepada pelajar-pelajar dengan jumlah RM200 seorang yang membolehkan pemegang akaun secara tidak langsung menjadi ahli kelab MyStar.

“Kelebihan yang akan diperolehi oleh Ahli Kelab MyStar ini adalah ahli dapat menerima potongan harga daripada rakan kerjasama strategik CBP.

“Pada ketika ini, CBP telah bekerjasama dengan Penang Bird Park di mana ahli diberi kemasukan percuma dan juga Kedai Salim Wahab yang memberi potongan harga sehingga 15%.

“Selain itu, CBP juga merancang untuk menambah lagi beberapa rakan kerjasama strategik ini dalam memberi keistimewaan dan manfaat kepada ahli kelab MyStar ini sekali gus memupuk semangat menabung pada usia muda,” ujar beliau. – MalaysiaGazette