Keadaan motorsikal milik seorang Pegawai Penyiasat berpangkat Inspektor yang berkhidmat di BSJ IPD Wangsa Maju maut dalam kemalangan jalan raya pagi tadi. Gambar Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pagi tadi.

Kejadian itu menimpa mangsa lebih kurang jam 11.20 pagi di Kilometer 0.4 Lebuhraya DUKE dari arah pusat bandar menghala ke Gombak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan melibatkan dua buah motosikal jenis Yamaha LC135 dan Honda RS150.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa dikenali sebagai Muhammad Faiz Paiman @Abdul Halim, 30, yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dari arah Jalan Kuching
bergerak terus menghala ke Plaza Tol Sentul.

“Sejurus sampai di tempat berdekatan dengan susur masuk ke lorong motosikal, dia  bergesel pada bahagian sisi kiri satu lagi motosikal Honda RS150 yang sedang bergerak terus di laluan yang sama.

“Akibat kemalangan, penunggang motosikal Yamaha LC135 itu (pegawai polis) mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan, Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan mengenai kejadian itu hari ini.

Dalam pada itu tambah beliau, penunggang Honda RS150 turut mengalami kecederaan di
bahagian kaki dan kepala, telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Sarifudin, kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai Polis
berhampiran.

Dalam pada itu Ketua polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan mangsa meninggal dunia merupakan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor polis yang berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju.

Mangsa telah mendirikan rumah tangga bersama anggota polis berpangkat Koperal Nurul Fatihah Mohd Fuzi yang turut berkhidmat di IPD yang sama dan tinggal beralamat di Kondominium Indah, Prima Damansara di Petaling Jaya, Selangor. – MalaysiaGazette