Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 17 individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian diberkas polis dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, semalam.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 6.45 petang di sebuah rumah kedai di Jalan Batu Tiga Lama, Klang, Selangor yang menyaksikan 14 orang termasuk dua wanita dan seorang perempuan warganegara asing ditahan.

Tambah beliau, kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 21 tahun hingga 50 tahun dan hasil pemeriksaan di premis membawa kepada rampasan sebuah laptop kawalan utama dan 13 buah laptop, sebuah modem dan wang tunai RM1,598.

“Manakala serbuan kedua diadakan jam lebih kurang 10.45 malam di Sebuah Premis, Jalan Rejang 7, Setapak Jaya.

“Di dalam serbuan kedua ini, seramai tiga lelaki warganegara tempatan berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun berjaya dicekup.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut telah merampas empat unit laptop, dua unit tablet, seunit telefon bimbit, seunit router, seunit modem dan wang tunai RM 205,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Noor, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk saisatan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – Malaysiagazette