KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan prestasi cemerlang apabila mencatatkan jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM3.01 bilion tahun lalu.

Jumlah tersebut memecah rekod pencapaian untuk tiga tahun sebelumnya sekali gus mencatatkan rekod baharu yang amat membanggakan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, simpanan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM1.02 bilion atau 50.95% berbanding deposit pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM1.99 bilion.

“Jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN terkumpul sehingga 31 Disember 2021 ialah RM10.88 bilion.

“Terimaan deposit berjumlah RM3.01 bilion bagi tahun 2021 merupakan 167.08% berbanding sasaran tahun 2021 sebanyak RM1.8 bilion.

“Terimaan ini juga merupakan 27.63% daripada keseluruhan deposit yang diterima sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004,” katanya.

Tambah Wan Saiful, sebanyak 421,281 akaun baharu Simpan SSPN telah dibuka tahun lalu berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun. Pencapaian tersebut adalah 105.32% berbanding sasaran tahunan.

Secara keseluruhan, sejak 2004 sehingga 31 Disember 2021 sebanyak 5.24 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka.

Pencapaian ini selaras dengan Teras Strategik Pertama, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 untuk menjadikan Simpan SSPN
sebagai produk simpanan pendidikan yang utama di Malaysia.

Penekanan kepada usaha menanam budaya menabung untuk pendidikan telah dimulakan oleh Wan Saiful sejak dilantik menjadi Pengerusi PTPTN pada tahun 2018.

“Saya gembira kerana visi saya berjaya diterjemahkan oleh para pegawai PTPTN melalui kutipan deposit Simpan SSPN yang sudah empat tahun berturut-turut mencatatkan peningkatan yang amat signifikan.

“Walaupun tahun lalu negara berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, saya optimis bahawa tahap kesedaran masyarakat Malaysia khususnya golongan ibu bapa mengenai pentingnya memulakan penabungan dari awal sudah mula meningkat.

“Kita sudah mula berjaya. Buktinya, deposit Simpan
SSPN meningkat lebih empat kali ganda sejak saya mula memberi lebih penekanan kepada usaha ini,” katanya.

Jelas Wan Saiful, prestasi cemerlang yang dicatatkan adalah terjemahan terhadap komitmen dan dedikasi keluarga PTPTN di semua peringkat termasuk sokongan daripada seluruh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN.

Katanya, usaha yang dilakukan itu perlu diteruskan secara konsisten dalam membentuk disiplin masyarakat ke arah membudayakan amalan penabungan.

“Kita telah jalankan kempen di bandar malahan juga di kampung-kampung.

“Kita akan teruskan dan saya sendiri akan turut serta dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan demi melunaskan tanggungjawab yang diberikan kepada saya dan PTPTN,” tambah Wan Saiful.

Tahun 2021 memperlihatkan usaha PTPTN yang menyeluruh dalam
penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan bersifat hujung ke hujung.

Tidak terhad kepada urusan di portal rasmi sahaja, PTPTN turut menyediakan tambahan kemudahan saluran bayaran balik dan penambahan simpanan secara dalam talian melalui kerjasama strategik seperti ShopeePay, BESTPay, KiplePay, KelantanPay,
PayHalal, AnsaraPay dan SpayGlobal.

Selain itu, saluran bayaran melalui perbankan internet seperti JomPay dan bank-bank terpilih serta perkhidmatan e-Pay turut
disediakan di terminal lokasi terpilih untuk kemudahan pelanggan PTPTN.

“Selaras dengan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 yang turut menumpukan kepada usaha pendigitalan PTPTN, inisiatif yang dilaksanakan ini adalah sebagai langkah awal PTPTN ke arah tersebut.

“Diterajui oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, jelas sekali saya berbangga dengan kesungguhan dan dedikasi beliau dalam memastikan PTPTN berada pada landasan
yang tepat mengikut peredaran teknologi semasa,” kata Wan Saiful.

Tambah beliau, PTPTN akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memberikan perkhidmatan terbaik dari semasa ke semasa kepada pelanggan seiring dengan norma baharu dan perkembangan dunia digital.

Usaha tersebut tidak akan terhenti dan akan terus mengembangkan idea meneroka transformasi pendigitalan secara komprehensif.

Sementara itu, PTPTN berjaya membantu seramai 140,977 pelajar yang ditawar melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tahun lalu melalui pinjaman pendidikan berjumlah RM3.51 bilion.

Daripada jumlah tersebut, seramai 70,412 pelajar atau 49.95% adalah dari golongan B40 dan kurang berkemampuan melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM1.95 bilion.

Bagi memperkasakan budaya bayaran balik pinjaman dalam kalangan
peminjam, PTPTN giat menjalankan pelbagai program dan promosi agar PTPTN mempunyai dana yang mencukupi untuk pembiayaan kepada generasi akan datang.

Pada tahun 2021, jumlah bayaran balik pinjaman yang diterima adalah sebanyak RM2.36 bilion meningkat sebanyak RM1.01 bilion atau 74.53% berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak RM1.35 bilion.

“Bersandarkan moto baru PTPTN iaitu ‘Peluang Kejayaan Anda’, kami akan mendokong matlamat untuk menjadi agensi yang akan memberikan peluang kepada ibu bapa menyediakan simpanan sebagai tabung pendidikan bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Hasrat saya ialah agar anak-anak dapat menikmati dan diberi peluang untuk merealisasikan impian dan cita-cita mereka di masa depan tanpa kekangan kewangan,” kata Wan Saiful.

Katanya, kejayaan PTPTN sebagai Tabung Pendidikan memerlukan perancangan jangka masa panjang dan usaha ke arah itu perlu konsisten.

Justeru Wan Saiful yakin barisan pegawai PTPTN yang diterajui oleh Ahmad Dasuki akan terus komited memastikan usaha mengubah stigma awam yang terlalu bergantung kepada pinjaman dapat diubah kepada budaya penabungan.-MalaysiaGazette