KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa parti itu masih mendapat sokongan dan menjadi pilihan rakyat untuk memacu politik negara.
Katanya, ia terbukti apabila PKR menerima 78,093 permohonan keanggotaan baharu, setakat penutupan pendaftaran pada 31 Januari lalu.
“Angka ini diterima PKR sejak 24 November 2021 yang lalu. Penyertaan dengan jumlah yang begitu besar ini menunjukkan PKR terus mendapat sokongan dan dokongan rakyat untuk terus memacu politik dan kepimpinan negara,” katanya menerusi kenyataan.
Ujar beliau, anggota-anggota yang telah berdaftar sehingga 31 Januari 2022 ini akan dibentangkan kepada Cabang untuk
proses semakan dan bantahan sebelum dimasukkan ke dalam Daftar Anggota Induk Parti.
Tambah Saifuddin, bantahan akan diproses dan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pusat.
“Proses ini akan dibuka bermula 3 Februari 2022 sehingga 9 Februari 2022. Jika terdapat bantahan pada senarai anggota baharu yang dibekalkan, Cabang boleh kemukakan bantahan kepada Pejabat Setiausaha Agung sebelum atau pada 9 Februari 2022.
“Keputusan Majlis Pimpinan Pusat ke atas setiap bantahan yang diterima adalah muktamad,” kata beliau.
Sementara itu beliau berkata, PKR akan mengeluarkan Daftar Anggota Induk yang lengkap pada 18 Februari 2022 seterusnya menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti bagi melengkapkan Daftar Pemilih untuk kegunaan Pemilihan Parti.-MalaysiaGazette