Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap dalam banjir lumpur. foto Reuters

QUITO – Sekurang-kurangnya 24 orang maut dalam kejadian tanah runtuh di ibu negara Ecuador, Quito dan 12 yang lain masih hilang, kata Datuk Bandar Santiago Guarderas.

Pada masa ini, pasukan penyelamat masih melakukan kerja-kerja mencari mangsa yang di rumah-rumah dan jalan raya yang dilitupi lumpur berikutan banjir terburuk dalam hampir dua dekad.

Hujan lebat pada malam Isnin menyebabkan kawasan kejiranan La Gasca dan La Comuna dilanda banjir lumpur dan runtuhan batu menimpa kediaman hingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Agensi pengurusan bencana negara itu memberitahu, seramai 48 orang cedera.

“Kami melihat sungai hitam besar ini menyeret segala-galanya, kami terpaksa memanjat dinding untuk melarikan diri,” kata penduduk Alba Cotacachi, yang memindahkan dua anak perempuannya dari rumah mereka.

Rakaman yang diperoleh Reuters menunjukkan seorang lelaki bergelut untuk menyelamatkan dirinya daripada air berlumpur yang meluru di jalan kediaman.
Bagaimanapun, saksi berkata, lelaki itu dihanyutkan ketika penduduk menjerit meminta tolong.

Video lain menunjukkan arus deras yang menghanyutkan pokok, kenderaan, tong sampah dan juga tiang elektrik, manakala beberapa orang diselamatkan dari banjir berlumpur oleh jiran.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan tanah runtuh berlaku lagi.

Ecuador menghadapi hujan lebat di beberapa kawasan, yang menyebabkan sungai melimpah dan menjejaskan ratusan rumah dan jalan raya.

Hujan di Quito pada hari Isnin bersamaan dengan 75 liter setiap meter persegi, yang tertinggi dalam hampir dua dekad. – Reuters (https://www.reuters.com/world/americas/landslide-quito-kills-least-14-injures-32-2022-02-01/)