Grand Paragon Hotel

JOHOR BAHRU – Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membuat pengumuman rasmi mengenai proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun kebanyakan hotel-hotel di negeri ini hampir penuh ditempah.

Rata-rata hotel memberitahu MalaysiaGazette, kebanyakan tempahan diterima sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu.

Menurut kakitangan hotel-hotel yang dihubungi, tempahan diterima secara pukal dari parti-parti politik dan para petugas pilihan raya termasuk kakitangan SPR dan Polis Diraja Malaysia.

Tempahan hotel dibuat dari pertengahan bulan ini sehingga awal Mac 2022.

Jurucakap Hotel Grand Paragon berkata, hotel yang menawarkan 358 bilik itu habis ditempah sejak seminggu lalu dan kini tempahan sudah ditutup.

“Selepas kerajaan negeri mengumumkan pembubaran DUN, kami menerima banyak tempahan bilik daripada pelbagai pihak. Dan, kini buku tempahan kami sudah penuh,” katanya.

Sementara itu, kakitangan New York Hotel di sini turut memaklumkan kemudahan itu sudah habis ditempah menjelang PRN Johor tidak lama lagi.

“Maaf tempahan kami penuh,” kata kakitangan hotel itu ketika dihubungi.

Kakitangan Hotel Aman Sari di Desaru juga berkata, bilik-bilik hotel itu sudah habis ditempah kecuali untuk bilik-bilik tertentu dan jumlahnya amat terhad sekali.

“Kebanyakan bilik Deluxe sudah habis ditempah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Amerin Hotel juga memaklumkan menerima tempahan hotel menjelang PRN Johor.

“Setiap hari kami menerima pertanyaan dan tempahan untuk PRN Johor,” ujar kakitangannya.

Dalam pada itu, Classic Hotel di Muar turut mengakui menerima tempahan yang cukup baik sejak kebelakangan ini.

Meskipun bilik masih ada, namun kategori bilik-bilik semakin terhad, kata kakitangannya.

SPR dijadualkan bermesyuarat pada 9 Februari ini bagi menetapkan proses PRN Johor.

Difahamkan penempatan hotel di Johor Bahru amat terhad kerana beberapa hotel tutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini, pada sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
berkata, sebanyak 13 hotel di negeri ini telah menutup operasinya susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.

Katanya, penutupan sempadan Malaysia-Singapura sehingga kini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2021 telah mengakibatkan kadar purata penginapan di Johor turun kepada 27.66 peratus pada Ogos tahun ini, berbanding 57.3 peratus pada 2019. – MalaysiaGazette