Bomba
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Jalan Mahawangsa 1, Kuah, Langkawi.

ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Jalan Mahawangsa 1, Kuah, Langkawi hari ini.

Ketua Bomba Zon Langkawi Mohd Fadzlullah Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 8.23 pagi.

“Sebaik anggota tiba di lokasi, didapati mangsa seorang kanak-kanak perempuan telah terjatuh dari tingkat empat bangunan. Anggota bertugas terus memberi rawatan awal kepada mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kemudian dibawa ke Hospital Langkawi dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata ketika kejadian bapa mangsa mendakwa dia dan keluarga sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

— BERNAMA