Wang kertas Liberia. foto Reuters

MONROVIA – Bank pusat Liberia membakar wang kertas lama dan rosak berjumlah 600 juta dolar Liberia (AS$4 juta) untuk memberi laluan kepada cetakan wang nota yang baharu.

Pelupusan itu dibuat ekoran kebimbangan nota mata wang lama kekal dalam edaran walaupun kerajaan mencetak yang baharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia juga berlaku selepas kehilangan dana negara pada 2018 – dengan dakwaan bahawa wang kertas Liberia yang baharu dicetak bernilai lebih $100 juta telah hilang.

Bank pusat menafikannya dan menyatakan wang itu disimpan dalam bilik kebal bank.

Kerajaan Presiden George Weah masih belum mengambil kira $25 juta yang dikeluarkan daripada akaun rizab negara pada tahun yang sama untuk menggantikan dolar Liberia lama dan mengukuhkan mata wang tempatan.

Kumpulan pendesak telah meminta penjelasan dan akauntabiliti tentang bagaimana proses itu dijalankan.

Ekonomi Liberia sedang bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi dalam ucapan tahunannya kepada Parlimen baru-baru ini, Presiden Weah menyatakan ekonomi stabil dan berkembang. – BBC