Etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 selepas tindakan kekerasan oleh tentera Myanmar. Foto Reuters

YANGON – Kerajaan bayangan Myanmar, yang ditubuhkan selepas rampasan kuasa tentera tahun lalu berkata, ia menerima bidang kuasa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendengar dakwaan bahawa negara itu melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap minoriti Rohingya.

Sebelum tentera merampas kuasa tahun lalu, kerajaan Myanmar yang diketuai oleh Aung San Suu Kyi yang kini digulingkan telah memfailkan bantahan awal kepada ICJ berhubung kes yang dibawa oleh Gambia dalam satu langkah yang dilihat berkemungkinan menangguhkan prosiding.

Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dalam kenyataanya semalam berkata, ia telah menarik balik semua bantahan awal terhadap kes itu.

Namun, tidak jelas sama ada ini akan menjejaskan proses undang-undang sejak NUG berkata, melalui “keanehan birokrasi”, ICJ telah berkomunikasi dengan diplomat Myanmar di Brussels yang berada di bawah kawalan junta.

“Sekiranya ICJ mengiktiraf tentera, ia akan membenarkan junta  menerus dan meningkatkan jenayah kekejaman hariannya,” kata NUG dalam satu kenyataan.

Ia menggesa ICJ berurusan dengan wakil tetap Myanmar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kyaw Moe Tun.

ICJ masih belum memberi respons.

Lebih 730,000 penduduk Muslim Rohingya melarikan diri dari negeri Rakhine Myanmar pada 2017 selepas tindakan keras tentera. – Reuters (https://www.reuters.com/world/asia-pacific/myanmar-shadow-government-drops-objections-icjs-rohingya-genocide-case-2022-02-02/)