bot terbalik
Bot pelancong dari Pulau Perhentian yang membawa 29 penumpang, berlanggar dengan bot yang dinaiki tiga nelayan di kawasan jeti.

JERTIH – Persatuan Pengusaha Bot Pelancongan Kuala Besut mengakui ada dalam  kalangan ahlinya yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika membawa pelancong ke Pulau Perhentian.

Pengerusinya Mohamad Khaizul Che Mohamad Noor berkata perkara itu bagaimanapun berada di luar bidang kuasa persatuan memandangkan semua pengusaha bot telah sedia maklum dengan SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Persatuan sangat kesal dengan insiden pelanggaran sebuah bot pelancong dengan sebuah bot nelayan yang berlaku pada petang Isnin lepas, justeru persatuan sedia memberi kerjasama kepada mana-mana jabatan dan agensi kerajaan yang mahu menjalankan siasatan terperinci demi menjaga nama baik industri pelancongan di Pulau Perhentian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang Isnin lepas, bot pelancong dari Pulau Perhentian yang membawa 29 penumpang, dilaporkan berlanggar dengan sebuah bot yang dinaiki tiga nelayan di kawasan muara Sungai Besut berhampiran jeti.

Akibat pelanggaran itu, kesemua penumpang serta kru bot pelancong dan bot nelayan itu terjatuh ke dalam sungai, dan mereka berjaya diselamatkan oleh petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

Susulan kejadian itu, tujuh penumpang bot pelancong yang terdiri daripada dua dewasa dan lima kanak-kanak berusia empat hingga 70 tahun masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam pada itu Mohamad Khaizul berkata persatuan mewakili pengusaha bot pelancong tersebut memohon maaf kepada semua waris mangsa yang terlibat dalam insiden pelanggaran itu.

“Ketika kejadian, ramai pengusaha bot yang berada di sekitar jeti segera memberi bantuan kepada mangsa insiden pelanggaran itu dengan menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk mendapatkan rawatan awal.

“Kami berharap semua mangsa yang masih dirawat di HSNZ segera sembuh. Kami juga sangat mengalu-alukan sebarang penambahbaikan seperti latihan dan pemeriksaan mengejut secara berkala untuk pemandu bot demi keselamatan pelancong,” katanya.

Katanya sejak ditubuhkan pada 2019, seramai 66 pengusaha bot pelancongan telah berdaftar dengan persatuan tersebut.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Jeti Pelancongan Kuala Besut di sini mendapati kedatangan pelancong tidak terjejas dengan insiden pelanggaran tersebut dan pakej percutian sehari ke Pulau Perhentian  terus mendapat sambutan mengalakkan.

Ada pelancong dilihat sanggup menaiki bot di jeti persendirian yang tidak sah walaupun sedar risiko bot dinaiki tidak mempunyai lesen dan mendapat kebenaran Jabatan Laut Malaysia serta membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan selain tidak mementingkan pemakaian jaket keselamatan.

Sementara itu Pemilik Perhentian Sunny Travel Sdn Bhd Suziana Mohammad berkata buat masa ini, belum terdapat sebarang aduan pelancong yang membatalkan tempahan disebabkan insiden pelanggaran tersebut.

Beliau yang menyediakan khidmat pakej pelancongan ke Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas sejak lebih 20 tahun berkata insiden pelanggaran sangat jarang berlaku berbanding insiden bot terbalik yang terjadi setiap tahun disebabkan faktor cuaca buruk dan ombak kuat.

“Syarikat kami sangat menitikberatkan aspek keselamatan pelancong. Pemandu bot pula sering diingatkan agar fokus ketika membawa pelancong ke pulau kerana sedikit kecuaian boleh membawa musibah yang besar.

“Semoga insiden ini ‘membuka mata’ lebih banyak pihak agar terus memantau aktiviti tidak bertanggungjawab yang hanya akan memburukkan industri pelancongan Pulau Perhentian,” katanya.

— BERNAMA