Shafien Mamat
Shafien Mamat

GUA MUSANG – Polis merampas sepucuk pistol semi auto jenama Zaroki serta dua kelopak peluru berisi 10 butir peluru selepas menahan seorang lelaki dalam keadaan khayal berdekatan dengan keretanya di tepi jalan Kampung Kubang Endang, Bechah Keranji dekat Melor di Kota Bharu Isnin lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata siasatan mendapati bahawa penarik kereta berumur 38 tahun yang ditahan pada pukul 9.30 pagi itu merupakan penjenayah yang diburu polis sejak 2003.

Beliau berkata polis turut menemukan dua bilah pedang samurai dan plastik putih mengandungi dua liter cecair disyaki dadah, selain dua unit telefon bimbit jenama Nokia dan Iphone 5s selepas memeriksa kereta Honda Civic milik suspek.

Katanya pistol berkenaan ditemukan dalam poket seluar hadapan sebelah kanan suspek bersama dua kelopak berisi 10 butir peluru, yang dikatakan dibeli lelaki itu dari seorang lelaki Thailand awal Sept lepas dengan harga RM2,200.

“Serbuan turut dilakukan di rumah suspek kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, dan polis turut merampas 10,000 pil jenis Epam bernilai RM30,000 serta wang tunai RM54,000 dipercayai wang hasil dadah,” katanya pada sidang sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang, di sini hari ini.

Shafien berkata pada tahun 2003 suspek pernah meloloskan diri ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) di Gua Musang, selain turut meninggalkan kad pengenalannya selepas diminta pihak polis.

Katanya suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

— BERNAMA