Telur
Seorang pekerja menyusun telur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan kenaikan harga telur di pasaran di sekitar Pasar Borong Harian Selayang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 3 FABRUARI 2022.

SELAYANG – Bekalan telur di pasaran didakwa mula berkurang dan sukar didapati di sekitar Lembah Klang sejak dua minggu yang lalu selepas Terengganu mengalami perkara sebelum ini.

Itu rungutan seorang pesara, Nordin Yusof, 66 mendakwa bekalan telur di kebanyakan kedai-kedai runcit berhampiran kediamannya telah habis.

Malah ujar beliau, salah satu pasar raya terkemuka di kawasan Selayang turut kehabisan bekalan telur.

“Saya cari di kedai-kedai runcit pun tidak ada, terbaharu saya cari di NSK, Selayang pun tidak ada, kosong tidak ada telur sebiji pun.

“Jadi saya ke kawasan ini untuk tengok ada ke jual telur sebab ada jumpa seorang pak cik tadi bawa banyak telur saya tanya mana dapat tapi dia jawab hanya kenalan sahaja jual pada dia, macam tu pula. Mula bekalan telur sudah tidak ada sudah lebih seminggu. Kedai-kedai runcit memang tidak ada,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, isu kekurangan bekalan telur ini merupakan masalah kecil yang sepatutnya dapat diselesaikan oleh kerajaan lebih awal tanpa menjadikan rakyat sebagai mangsa.

Pembeli, Nordin Yusof ketika bercakap pada media berikutan kenaikan harga telur yang berada di pasaran di sekitar Pasar Borong Harian Selayang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 3 FABRUARI 2022.

“Kalau harga telur naik pun kita terpaksa beli juga sebab nak makan, tambahan pula kanak-kanak suka makan telur. Saya rasa ini perkara kecil sahaja, sepatutnya sudah selesai masalah sebegini sebab masalah rakyat melibatkan pemakanan,” tambahnya.

Bagi Pengusaha kantin sekolah seperti Norazila Izhar, ketiadaan bekalan telur di kawasan Kepong memaksanya mencari di merata-rata tempat sehingga ke Selayang.

Oleh kerana sesi persekolahan akan bermula esok, justeru wanita berusia 45 tahun itu tetap gigih mencari bekalan telur walaupun terpaksa membeli dengan harga yang lebih tinggi.

“Tempat tinggal saya di Kepong memang tidak ada bekalan telur, sebab tu saya ke sini (Selayang). Kat sana memang tidak ada, di kedai-kedai runcit yang bekalan telur susah sekarang. Sudah dekat dua minggu bekalan telur kurang.

“Sekarang barang memang banyak tidak ada, ada roti tidak ada sayur-sayuran kurang kalau berniaga payahlah sikit. Kalau berniaga kena carilah juga, harga melambung, harga telur pun semakin mahal,” katanya..

Pembeli,Norazila Izhar ketika bercakap pada media berikutan kenaikan harga telur yang berada di pasaran di sekitar Pasar Borong Harian Selayang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 3 FABRUARI 2022.

Justeru itu, Norazila berharap kerajaan mengambil serius terhadap masalah kekurangan bekalan telur yang turut menjejaskan harga di pasaran.

“Kita harap kerajaan tolong kita, saya berniaga bukan untung banyak sangat untung sikit-sikit harap kerajan tolong selesai masalah ini,” tambahnya.

Sementara itu, peniaga warung makan, Nurul Syafikah Badrulhisham, 26 tahun turut mengeluh dengan bekalan telur yang kini semakin terhad.

Ujarnya, sebagai peniaga, telur merupakan salah satu bekalan makanan yang paling asas perlu sentiasa ada namun kini beliau sentiasa berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkannya.

“Semalam ada jumpa telur kawasan pasar raya lain. Tempat lain kalau dua tiga hari sebelum Tahun Baru Cina, seminggu sebelum dah susah dapat bekalan telur.

Pembeli, Nurul Syafikah Badrulhisham ketika bercakap pada media berikutan kenaikan harga telur yang berada di pasaran di sekitar Pasar Borong Harian Selayang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 3 FABRUARI 2022.

“Memang susah nak beli telur sekarang nak dapat susah,” katanya.

Apatah lagi, tambah beliau, tindakan penjual menghadkan penjualan telur kepada pengguna turut menyusahkan peniaga sepertinya.

Beliau yakin situasi ini sekiranya dibiarkan berlarutan akan menaikkan lagi harga telur seterusnya menyusahkan rakyat.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan supaya menyelesaikan masalah bekalan telur dan kenaikan harganya dengan segera.

“Kalau peniaga beli lima papan sebelum ini tidak ada masalah sekarang ini dihadkan kepada dua papan. Lepas tu nak beli mereka hadkan. Dihadkan ini sudah mula pertengahan bulan 1, harga pula sekarang tidak menentu.

“Saya sebagai peniaga kedai makan berharap agar supaya bekalan telur sentiasa ada dan harga berpatutan apatah lagi masa sekarang ekonomi kini, selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) macam-macam kita kena usaha hidup susah,” menurut peniaga muda itu.

Baru-baru ini bertebaran laporan berita mengenai kekurangan bekalan telur yang semakin membimbangkan pengguna khususnya di Terengganu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri itu menerusi kenyataan mengakui bekalan telur bagi gred tertentu adalah terhad berikutan jumlah stok yang dibekalkan pengeluar kepada pemborong dan pihak pasar raya buat masa ini berkurangan kira-kira 50 peratus daripada kebiasaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast