Pegawai Penyelidik CAP, S. Ganesan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) segera atasi isu kekurangan bekalan telur ayam membelenggu rakyat negara ini.

Pegawai penyelidik CAP, S. Ganesan berkata, kekurangan bekalan telur ayam harus dipandang serius memandangkan ia merupakan sumber protein yang murah berbanding bahan protein lain.

“Rata-rata peniaga kedai runcit serta pasar awam mendakwa mereka sukar mendapatkan bekalan sejak dua minggu lalu sekali gus timbul rasa bimbang tiada bekalan pada masa akan datang.

“Sehubungan itu, kita gesa pihak bertanggungjawab untuk mengenal pasti punca kekurangan bekalan telur ayam ini agar ia tidak capai tahap kritikal untuk diselesaikan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ganesh memberitahu tinjauan pihaknya di pasar awam dan kedai runcit di Pulau Pinang mendapati bekalan telur ayam masih ada seperti biasa.

Antara lokasi tinjauan termasuk di Gelugor, Bayan Baru serta Jelutong.

“Peniaga kedai runcit mendakwa mereka sukar dapat bekalan memandangkan kuantiti yang dibeli daripada pemborong sedikit berbanding peniaga pasar,” kata beliau.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mencari kaedah baharu dan sesuai untuk mengimbangi situasi menang-menang antara pengguna dan penternak susulan isu bekalan telur ayam.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia bertujuan memastikan penternak tidak mengalami kerugian selain pengguna tidak terbeban dengan peningkatan jualan harga telur ayam ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast