Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang menafikan beliau obsess atau taksub terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, dia dituduh obsess terhadap Najib selepas melontarkan pertanyaan siapa yang akan dipilih sebagai calon Perdana Menteri UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Saya tidak obsess dengan beliau. Kemunculan semula politik seorang penjenayah yang disabitkan kesalahan rasuah sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11 akan memberi implikasi serius kepada masa depan Malaysia,” kata Kit Siang.

Najib dalam hantaran di media sosial semalam, menyindir Kit Siang kerana menulis mengenai dirinya ketika masyarakat Cina sedang bergembira menyambut kedatangan tahun baharu.

“Kit Siang, kenapa hari pertama Dong Dong Qiang Tahun Baru Cina kamu habiskan masa untuk fikir, bimbang dan tulis berkenaan saya? Uncle tak raya? Cucu-cicit tak lawat ke?” tanya Najib.

Dalam mempertahankan dirinya dari dianggap obsess terhadap Ahli Parlimen Pekan itu, Kit Siang mengaitkan kritikannya terhadap Najib dengan sambutan penubuhan Malaysia ke-100 pada 2063.

Kit Siang berkata, masa hadapan negara bakal diputuskan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Sama ada Malaysia akan menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal apabila kita merayakan seratus tahun kita pada 2063 akan diputuskan oleh rakyat Malaysia sekarang, khususnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan dalam pilihan raya negeri Johor sama ada kemerosotan nasional setengah abad yang lepas akan berterusan dalam dekad yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Tambah Kit Siang, PRU-15 perlu menandakan kesinambungan aspirasi rakyat Malaysia pada PRU-14 untuk mereformasi institusi bagi memulihkan impian pengasas negara untuk Malaysia menjadi negara hebat bertaraf dunia.

Sebagai rakyat Johor, Kit Siang berkata, beliau mahu melihat PRN Johor sebagai permulaan untuk menghentikan kemerosotan Malaysia yang didakwa hampir menjadi “harimau” ekonomi kepada trajektori kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal.

“Inilah impian Johor. Kita mesti jadikan impian Johor juga impian Malaysia, untuk mengembalikan institusi yang kuat berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menegakkan sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen yang segar, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, akhbar yang bebas, kehormatan terhadap hak asasi manusia, sifat masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya Malaysia, tanpa rasuah dan dengan perkhidmatan awam yang bertanggungjawab, berintegriti, dan berkesan.

“Jika penjenayah rasuah yang disabitkan kesalahan boleh membuat kemunculan semula politik untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 atau ke-11 negara, maka perkara ini bermakna usaha kedua untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal telah pun gagal,” kata Kit Siang.

Serentak itu, Kit Siang mahu kempen Selamatkan Malaysia yang pernah digunakan oleh Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum sebelum ini, dimulakan semula pada PRN Johor.-MalaysiaGazette.