Bekas penyelidik di Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam bercakap kepada media selepas memberi keterangan mengenai dua artikelnya berkaitan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas penyelidik di Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam selesai memberi keterangan di Bukit Aman kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Terdahulu beliau tiba jam 2.25 petang bagi memberi keterangan berkaitan dua artikel yang ditulis beliau mengenai pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketika ditemui media Lalitha berkata, dia telah selesai menjawab kesemua 83 soalan yang dikemukakan terhadapnya oleh pihak polis.

“Saya selesai menjawab kesemua soalan yang diberikan, dan pegawai yang merakam keterangan saya juga menguruskan proses itu dengan sangat profesional.

“Saya memberikan keterangan sebanyak 15 muka surat dan itu yang mengambil masa agak lama,” katanya.

Dalam pada itu, menurut peguam Manjeet Singh Dhillon, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan sepenuhnya dalam kes ini.

“Biarlah polis menjalankan siasatan, saya yakin kemampuan polis menyiasat berlunaskan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya lagi.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kehadiran Lalitha petang tadi dan selesai dirakam keterangan oleh polis.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman.

Terdahulu, artikel laporan oleh Lalitha bertajuk ‘Business ties among MACC leadership: How deep does it go?’ telah diterbitkan di sebuah portal berita pada 26 Oktober yang lalu.

Berikutan artikel itu, pada 12 Januari lalu, Azam telah memfailkan saman fitnah RM10 juta di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur terhadap Lalitha berhubung artikel yang diterbitkannya yang didakwa berunsur fitnah dan menjatuhkan imej beliau.

Saman yang difailkan Azam Baki itu akan didengar di Mahkamah Kuala Lumpur pada 15 Februari ini.- MalaysiaGazette