Ahli Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat) menunjukkan plakad bantahan mengenai tuntutan pengeluaran wang simpanan KWSP akaun 1 secara 'One Off ' di Pintu 3, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menandatangani petisyen yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, yang memohon pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1.

Presiden Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat), Khairul Anuar Othman berkata, memorandum dan petisyen yang diserahkan di Istana Negara pada hari ini memohon supaya YDPA campur tangan agar kerajaan membenarkan pengeluaran caruman secara one-off demi membantu rakyat menampung kehidupan.

Jelas beliau, antara sebab pencarum membuat permohonan pengeluaran pada kali ini adalah kerana kewangan mereka masih belum stabil berikutan penularan Covid-19 melanda negara dua tahun lalu sehingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Selain itu, katanya, pencarum yang telah mendapat pekerjaan baharu selepas kehilangan punca pendapatan kini menerima upah yang lebih rendah berbanding sebelum ini, mengakibatkan kedudukan kewangan mereka masih goyah ditambah pula hutang dan bil utiliti yang perlu dijelaskan setiap bulan.

“Untuk memperbaiki memulihkan perniagaan-perniagaan pencarum yang baru bermula dan terjejas akibat PKP demi PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Akhirnya untuk menjelaskan baki-baki hutang sebelum moratorium berakhir sekitar Februari dan sebagai modal memulakan semula perancangan kewangan yang baru bermula Januari 2022.

Presiden Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat), Khairul Anuar Othman menunjukkan memorandum yang akan diserahkan kepada Agong mengenai tuntutan pengeluaran wang simpanan KWSP akaun 1 secara ‘One Off ‘ di Pintu 3, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.

“Inilah yang kami serahkan kepada YDPA, dan kami merayu, meminta Duli Yang Maha Mulia mendengar rintihan kami, suara kami, mendengar hati nurani kami kerana setiap hari dan waktu saya menerima panggilan-panggilan telefon.

“Aada yang sanggup jual rumah, kehilangan kereta, ada yang dibuang kerja, jadi penganggur paling teruk ada sanggup menjadi pelacur terkini ada yang sanggup membunuh diri,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum dan petisyen kepada pihak Istana Negara.

Dalam masa sama, Khairul memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya mendengar rintihan dan permintaan rakyat sebagai pencarum KWSP.

Menurutnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan sekiranya kerajaan tidak mengendahkan permintaan berkenaan.

“Wahai kerajaan, tolong kami, rakyat sudah tidak sabar lagi kami tidak mahu adakan perhimpunan. Tapi ingat, sekiranya anda tidak meluluskan permintaan kami, satu perhimpunan besar akan saya lakukan,” tambahnya tanpa mengulas lanjut mengenai perhimpunan berkenaan. – MalaysiaGazette