Telur
Gambar hiasan.

MELAKA – Krisis bekalan telur ayam semakin memuncak apabila bekalan di seluruh negara dijangka merosot sehingga 4.5 juta biji sehari atau lebih sekiranya kerajaan terus mengekalkan harga sedia ada tanpa sebarang kenaikan atau subsidi.

Angka itu berdasarkan kira-kira 1,500 pengusaha ladang ayam penelur yang membekalkan antara 27 juta hingga 30 juta telur sehari terpaksa mengurangkan pengeluaran sehingga 15 peratus kerana tidak mampu menampung kos operasi yang semakin meningkat.

Menurut sumber dalam industri, keadaan itu dilihat lebih buruk apabila kerajaan mengumumkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang sepatutnya tamat hari ini menyaksikan harga telur kekal tanpa sebarang kenaikan sehingga 5 Jun ini.

Di bawah SHMKM, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit telur ayam semua gred kekal iaitu 44 sen sebiji (Gred A), 42 sen (Gred B) dan 40 sen (Gred C) manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah bergantung kepada kawasan.

Sumber berkata, sejak dua minggu lalu, kos makanan ayam seperti soya pula melonjak daripada RM2,100 kepada RM2,500 per tan selain jagung sehingga RM1,500 per tan yang memberi kesan besar kepada pengusaha.

“Kos untuk mendapatkan sebiji telur adalah antara 36 ke 38 sen jadi pembekal mempersoalkan adakah wajar mereka menjualnya pada harga merugikan kepada kepada peniaga yang perlu menjualnya pada harga kawalan 39 sen sebiji di pasaran?

“Jika harga seperti ini dikekalkan, pengusaha ladang ayam telur beritahu mereka tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengurangkan pengeluaran dan jika ini berlaku, krisis bekalan telur akan berlanjutan sehingga menyukarkan pengguna.

“Negara mungkin akan kehilangan lebih 4.5 juta biji telur sehari jika mengambil kira pengeluaran telur merosot sehingga 15 peratus,” kata sumber kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Jelasnya, sebab itu sebelum ini ada cadangan daripada peladang ayam penelur untuk menaikkan harga sebiji telur sehingga lima sen sebiji memandangkan kos dedak termasuk soya dan jagung meningkat sehingga 15 peratus.

Bagaimanapun menurut sumber itu lagi, keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan 31 Januari lalu yang memutuskan harga telur kekal di bawah seperti di bawah SHMKM sehingga 5 Jun ini telah ‘membunuh’ penternak ayam walaupun ianya ‘popular’ bagi pengguna.

Selain mengharapkan subsidi, katanya, pembekal ayam penelur juga mencadangkan harga ditentukan mengikut permintaan pasaran atau market force kerana kerajaan juga semakin kekurangan sumber untuk memberikan subsidi berterusan.

MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan harga telur ayam di negeri ini dijangka naik 5 sen atau RM1.50 bagi sepapan 30 biji minggu depan atau selepas cuti umum Tahun Baharu Cina.

Ia susulan beberapa peniaga mendakwa sudah menerima notis daripada pembekal masing-masing mengenai kemungkinan kenaikan itu susulan kekurangan stok bekalan telur di negeri ini sejak tiga minggu lalu.- MalaysiaGazette