A man jumped off 12th floor of an aparment in Paya Terubong, Penang, after stabbing his wife
Seorang lelaki bertindak menikam isterinya dengan sebilah pisau sebelum bertindak terjun dari rumah mereka di tingkat 12 di sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki bertindak menikam isterinya dengan sebilah pisau sebelum bertindak terjun dari rumah mereka di tingkat 12 di sebuah pangsapuri di Paya Terubong di sini hari ini.

Lelaki berusia 54 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah pangsapuri sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis pada pukul 7.38 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, lima jam selepas insiden itu pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga emas yang memaklumkan tiada respon daripada anak perempuannya yang merupakan isteri kepada mangsa selain pintu rumah terkunci dari dalam.

Saravanan.

Jelas beliau, bertindak atas laporan itu pihak polis bergegas ke lokasi sebelum mendapati wanita berusia 46 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah di atas katil di dalam sebuah bilik.

“Hasil pemeriksaan pihak polis dan forensik mendapati ada dua kesan tikaman di leher dan paha mangsa.

“Hasil siasatan kita tidak menolak kemungkinan suspek menikam isterinya sebelum bertindak terjun.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut juga membawa kepada penemuan pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Pasangan berkenaan masing-masing merupakan pekerja kilang di Bayan Lepas.

Tambah Saravanan, punca kejadian dipercayai berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut dan ketika kejadian hanya mereka berdua berada di kediaman terbabit.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

“Hasil siasatan mendapati pasangan ini mempunyai anak berusia 18 tahun dan ketika kejadian dia berada di rumah neneknya di Air Itam.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai selesai dan kita hantar mayat ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat,” ujar beliau.- MalaysiaGazette