Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus tahun ini disokong oleh pengembangan berterusan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang tinggi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, Malaysia berkedudukan baik untuk mencatatkan peningkatan susulan pemulihan dalam pertumbuhan global dan perdagangan seperti yang dilihat pada 2021.

Permintaan luaran yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi terutamanya dari rakan dagangan utama negara termasuk China, Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi serantau lain, akan menyumbang kepada pengembangan dalam sektor berorientasikan eksport, katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi emel.

“Apa yang penting, peningkatan dalam keseluruhan pendapatan, situasi pekerjaan dan sentimen pengguna akan memberi rangsangan kepada perbelanjaan isi rumah,” katanya sambil menambah bank pusat akan mengumumkan penilaian ekonomi terkininya pada Mac.

Nor Shamsiah berkata kesinambungan projek pelaburan penting dalam sektor ekonomi utama seperti dalam pembuatan E&E dan pelaburan digital akan meningkatkan lagi pertumbuhan.

Bagaimanapun, katanya, risiko kepada prospek bagi 2022 masih kekal yang disebabkan oleh pertumbuhan global lebih lemah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang memburuk dan kemunculan varian baharu COVID-19 yang lebih berbahaya, katanya.

Sementara itu, beliau berkata inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada 2022 apabila kesan asas daripada inflasi bahan api mereda, manakala inflasi teras dijangka menyederhana dengan peningkatan tekanan dikekang oleh prestasi ekonomi dan pasaran buruh yang perlahan.

“Keseluruhannya, prospek inflasi terus bergantung kepada perkembangan harga komoditi global dan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berterusan,” katanya.

 

PEMATUHAN ESG OLEH BANK-BANK MALAYSIA

Mengenai perkembangan lain, Nor Shamsiah berkata bank-bank Malaysia mengambil usaha untuk menyepadukan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam tadbir urus, strategi perniagaan, operasi dan pengurusan risiko mereka.

“Ini diperkukuh lagi menerusi langkah-langkah kawal selia seperti Taksonomi berasaskan Prinsip dan Perubahan Iklim dan garis panduan akan datang mengenai pengurusan risiko dan analisis senario yang dikeluarkan bagi perundingan,” kata yang mengulas mengenai soalan tentang kejadian banjir di Malaysia yang menekankan lagi keperluan bagi pelaksanaan ESG.

Beliau menjelaskan kejadian banjir baru-baru ini jelas menunjukkan dan memberi peringatan akan keperluan untuk memberi penekanan serius kepada agenda kemampanan.

“Sesetengah bank telah mula menganalisis pendedahan dalam portfolio berian pinjaman dan pelaburan mereka dan melibat urus dengan pelanggan dalam perkara yang membabitkan ESG. Kita juga melihat lebih banyak bank menyokong peralihan pelanggan mereka kepada amalan yang lebih mampan termasuk dengan menawarkan penyelesaian dan nasihat,” katanya.

Beliau berkata ini merupakan langkah-langkah awal dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan.

“Bagaimanapun dalam bahagian ini, kami yakin industri perbankan sedang bergerak dalam hala tuju yang betul dan momentum itu akan terus meningkat,” katanya.

 

BANTUAN BANJIR DAN IMPAKNYA KE ATAS KEUNTUNGAN

Nor Shamsiah berkata sektor kewangan telah meningkatkan usaha untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka yang terkesan akibat banjir, bukan hanya sekadar menyediakan bantuan pembayaran semula tetapi juga mengenepikan yuran dan caj untuk menggantikan dokumen bank yang hilang atau rosak.

Sebarang bentuk bantuan akan melibatkan kos, katanya, namun ia dapat diuruskan kerana pendedahan berkaitan banjir dijangka sederhana dan industri perbankan juga telah sedikit demi sedikit meningkatkan paras peruntukan mereka sejak 2020 bagi menyediakan penampan kepada impak negatif daripada pandemik.

Dengan faktor-faktor ini, bank pusat tidak menjangkakan lonjakan mendadak dalam kos kredit dan ini akan membendung sebarang impak ketara ke atas pendapatan bank-bank.

“Saya juga ingin menekankan bahawa bank-bank dapat menyediakan bantuan ini sambil menguruskan keuntungan dan kepentingan pendeposit mereka, hasil daripada usaha berdekad-dekad untuk mengukuhkan tadbir urus dan pengurusan risiko dalam sektor kewangan,” katanya.  – MalaysiaGazette