Pihak polis menjalankan siasatan membabitkan kes seorang lelaki tempatan dikelar akibat cinta tiga segi di sebuah restoran di Butterworth, Pulau Pinang semalam.

BUTTERWORTH – Gara-gara cinta tiga segi, seorang lelaki tempatan dikelar ketika sedang minum di sebuah restoran di Lorong Teras Jaya di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 10.40 malam, mangsa berusia 40-an itu dikatakan sedang minum sebelum tiba-tiba diserang suspek.

Difahamkan, suspek bertindak mengelar leher lelaki tersebut dan kedua-dua mereka berada dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu bergaduh berebut seorang wanita yang merupakan pekerja restoran tersebut.

Mohd Radzi.

Jelas beliau, mangsa yang dikelar itu merupakan teman lelaki wanita berkenaan dan suspek tidak berpuas hati dengan hubungan pasangan tersebut.

“Suspek marah cintanya terhadap wanita berusia 41 tahun itu ditolak menyebabkan dia bertindak menyerang mangsa,” katanya.

Difahamkan, wanita berkenaan berstatus janda dan mempunyai empat orang anak.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan usaha mengesan suspek giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Radzi, mangsa kini dilaporkan stabil, namun masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya. – MalaysiaGazette