Atiqah menunjukkan rest bayaran kompaun parkir menggunakan aplikai Pahang Go di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Penduduk Kuantan yang mempunyai saman dengan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK)  mengambil peluang susulan diskaun pengurangan sehingga 80 peratus bagi kompaun letak kereta sejak 2 hingga 28 Februari ini.

Bagi Atiqah Mahattar, 33, tawaran diskaun yang diberikan memang menjimatkan dan berbaloi bagi menyelesaikan saman parkir tertunggaknya.

“Bayangkan kalau tidak ada diskaun saya perlu membayar RM600 dan kini banyak penjimatan tanpa menunggu akhir tahun.

“Paling mudah tidak perlu beratur kerana boleh terus membuat bayaran melalui aplikasi Pahang Go,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, bagi Mohd Kadir Ibrahim, 63, diskaun pembayaran saman dapat membantu meringankan kos bagi menyelesaikan kompaun.

“Lebih jimat dan paling penting apabila selesaikan kompaun nama kita tidak disenarai hitam daripada membuat urusan dengan MBK,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, orang ramai boleh menyelesaikan kompaun melalui pondok jualan kupon letak kereta, kaunter cawangan dan kaunter ibu pejabat MBK.

“Diskaun 80 peratus selama tempoh sehingga penghujung bulan ini diberikan sempena sambutan ulang tahun pertama bandar raya Kuantan.

“Pihak MBK harap agar iniasiatif ini dapat dimanfaatkan pemilik kenderaan yang masih belum menjelaskan kompaun mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini. – MalaysiaGazette