Kawasan perbandaran di Syria merupakan sebuah pangsapuri yang digabung dengan masjid yang mana akan menempatkan 216 orang pada satu-satu masa dan terdiri daripada 18 buah blok rumah.-Foto Serantau Muslim

KUALA LUMPURĀ  – Serantau Muslim bakal menjejakkan kaki ke Syria bagi melaksanakan misi bantuan musim sejuk bermula esok sehingga 14 Februari depan.

Menurut satu kenyataan, misi itu disertai oleh beberapa orang sukarelawan Serantau Muslim bersama duta rasminya, Imam Muda Hassan dan Ustazah Isfadiah.

Misi kali keempat Serantau Muslim ke Syria kali ini untuk meninjau proses terakhir pembinaan kawasan perbandaran (township) dan masjid di negara itu.

Buat julung kalinya juga, Serantau Muslim juga menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia pertama yang menubuhkan kawasan perbandaran di negara berkenaan.

Kawasan perbandaran itu merupakan sebuah pangsapuri yang digabung dengan masjid yang mana akan menempatkan seramai 216 orang pada satu-satu masa dan terdiri daripada 18 buah blok rumah.

Masjid di dalam kawasan yang sama pula boleh memuatkan sehingga 1, 000 jemaah pada satu-satu masa.

Dalam perkembangan yang sama, Serantau Muslim akan merasmikan kilang roti yang mana sebelum ini ia terhenti atas sebab-sebab tertentu dan bakal memulakan operasinya tidak lama lagi.

Ketika pandemik Covud-19 sepanjang dua tahun lalu, Serantau Muslim telah menghantar amanah para penyumbangnya ke sana bagi memenuhi sebahagian keperluan mereka melalui rakan mereka.

Kini Serantau Muslim boleh bersua muka dengan para pelarian yang memerlukan untuk mengagihkan bantuan.

Pada misi kali ini juga, Serantau Muslim akan meneruskan agihan bantuan set pemanas, pakaian, makanan, tilam dan selimut kepada yang masih memerlukan.

Selain daripada itu, Serantau Muslim berterima kasih kepada semua penyumbang yang bersama-sama sejak dulu sehingga hari ini dalam membantu minoriti Islam dan mereka yang memerlukan di seluruh negara ASEAN.

Difahamkan musim sejuk kali ini berterusan dari Januari hingga awal Mac dan dianggarkan suhu mencecah bawah 0 hingga -5 darjah celcius.

Keadaan di sana juga telah menyebabkan banyak khemah musnah akibat angin kuat dan salji tebal. – MalaysiaGazette