Tun Dr. Mahathir Mohamad IJN surgery procedure
Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau telah pulih setelah menjalani rawatan, Institut Jantung Negara (IJN) berkata, bekas Perdana Menteri itu telah dibenarkan pulang ke rumah.

Menurut kenyataan IJN, Dr. Mahathir kini menjalani rawatan pemulihan di rumah.

“Dr Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara pada 8:40 pagi hari ini.

“Dr Mahathir baru-baru ini dimasukkan dan menerima rawatan perubatan semasa berada di IJN. Beliau kini akan meneruskan pemulihan di rumah,” kata kenyataan itu, hari ini.

Semalam Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu berkata, beliau telah pulih namum belum sepenuhnya setelah menjalani rawatan di IJN.

Sebelum ini, pejabat bekas perdana menteri itu mengumumkan bahawa Dr. Mahathir dibenarkan pulang ke rumah sejak Rabu lalu.

Dalam pada itu, IJN turut memaklumkan Dr. Mahathir akan menjalani pemeriksaan susulan untuk meneruskan rawatan perubatannya.

Pada 22 Januari lalu, pejabat Dr. Mahathir mengesahkan beliau dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN.

Pada 7 Januari lalu, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif sebelum dibenar keluar enam hari kemudian.

Pada 16 Disember tahun lalu, beliau dimasukkan ke institut itu untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember. – MalaysiaGazette