KUALA LUMPUR – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) memandang serius isu cetak rompak yang terus berlaku membabitkan filem tempatan yang masih ditayangkan kepada umum.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim berkata, kejadian terbaharu merujuk kepada filem Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi yang juga ahli FDAM, memberi gambaran industri filem Malaysia masih tidak selamat daripada menjadi mangsa cetak rompak.

“FDAM mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang sengaja melakukan perbuatan cetak rompak membabitkan filem tempatan,” katanya.

Oleh itu, beliau menggesa pihak berkuasa sama ada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera menangani kes cetak rompak digital.

“FDAM ada berhubung dengan Mawi yang memaklumkan filem terbaharunya, Hantu Kuat Ketawa dicetak rompak. Justeru, FDAM bersedia membantu Mawi yang juga ahli FDAM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik agar kegiatan cetak rompak ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Tambahnya, individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti cetak rompak ini merupakan lanun dalam industri perfileman negara yang perlu diberi hukuman setimpal agar menjadi pengajaran pada diri sendiri dan orang lain tidak sewenangnya melakukan jenayah siber ini. – MalaysiaGazette