Raj mengangkat bekalan telur untuk dijual kepada pengguna di Pasar Besar Kuantan.

KUANTAN – Berikutan masalah logistik sepanjang musim Tahun Baru Cina, para peniaga telur menghadapi kesukaran mendapatkan stok bekalan telur untuk dijual kepada pengguna.

Justeru antara alternatif yang digunakan oleh peniaga runcit  di Pasar Besar Kuantan, Raj Gunaseran, 23, ialah dengan mengambil telur stok sendiri di ladang penternakan ayam.

“Hari ini baru dapat jual telur, tapi itu pun kena pergi sendiri ambil stok kerana tiada penghantaran dibuat.

“Bekalan telur baru sampai hari ini hanya dapat 30 sarang sahaja dan dijual mengikut skim harga kawalan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette..

Kata Raj, menjadi kebiasaan beliau menjual 50 sarang terjual sehari namun disebabkan bekalan telur terhad jualan menurun.

Tambahnya, sebagai peniaga beliau perlu jujur dan mematuhi skim kawalan harga pasaran yang ditetapkan tanpa mementingkan keuntungan semata-mata.

“Harga kawalan sepatutnya sehingga semalam tetapi telah dilanjutkan sehingga Raya Aidilfitri nanti, jadi kami ikut seperti yang disarankan,” katanya.

Bagi peniaga Wah Wee, 54, beliau terpaksa pasrah bahawa bekalan telur terputus dan tidak dapat menjual telur sehingga hari ini.

Katanya, ia  berikutan tiada pemandu yang bekerja untuk melakukan penghantaran sehingga Isnin ini.

“Biasa jual 30 sarang sehari dan dapat bekalan sekurang-kurangnya 20 sarang tapi kali ini memang tiada,” katanya.

Aida Fahiran Muhammad

Manakala bagi Aida Fahiran Muhammad, 42, berkata bekalan terputus telur memang berlaku termasuk kesukaran mendapatkan bekalan ayam.

“Bekalan terputus telur dan ayam, namun ada barang lain mendadak naik ialah sayur-sayuran sehingga RM 10 ke atas.

“Seminggu ini tiada barang termasuk telur dan ayam. Memang tidak dapat barang dalam pasar besar pun, kecuali datang pagi-pagi lagi kalau ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette