Dr. Norlela Ariffin

GEORGE TOWN – Dua lagi kluster pendidikan direkodkan di Pulau Pinang sekali gus menjadikan keseluruhan 12 kluster membabitkan pelajar dijangkiti Covid-19 yang aktif ketika ini.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, dua kluster baharu itu ialah Kluster Bandar Putra Bertam iaitu Madrasah Al-Aminiah Bertam Tahfiz Vokasional di Seberang Perai Utara dan kluster Jalan Bukit Minyak Dua iaitu Kolej Vokasional Seberang Perai di Seberang Perai Tengah.

Jelas beliau, taburan kes Covid-19 itu melibatkan sebanyak 60 buah sekolah rendah dan menengah dengan 12 kluster.

Setakat ini, Pulau Pinang mencatatkan 19 kluster aktif iaitu membabitkan pendidikan (12), sektor perkilangan (3), tempat kerja (3) dan pusat tahanan (1).

“Selain itu, satu kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Jalan Dato Ismail Hashim membabitkan kem tentera sebanyak 20 kes.

“Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil beberapa langkah segera bagi membendung penularan wabak ini,” katanya menerusi mesej di aplikasi WhatsApp hari ini.

Untuk rekod, sehingga semalam jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Pulau Pinang adalah sebanyak 169,852 kes dengan 522 kes baharu dilaporkan. – MalaysiaGazette