Khaled menerima borang keahlian UMNO pada majlis pembubaran Bersatu Cawangan Molek Harmoni Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Gimik, habuan dan lakonan parti bukan cara UMNO.

Itu tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ekoran dakwaan kononnya semakin ramai ahli daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar parti sejak kebelakangan ini kerana desakan daripada Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya beliau menjelaskan, keputusan yang dilakukan mereka berlandaskan keikhlasan dan kemahuan mereka sendiri tanpa paksaan.

Menurutnya, tindakan keluar parti dilihat kerana individu terlibat telah membuat perbandingan antara kedua-dua parti.

“Sangat masak dengan kedua-dua parti kenal dan tahu Bersatu luar dan dalam. Kenal tahu UMNO luar dan dalam dan boleh buat perbandingan.

“Saya percaya keputusan yang dibuat hari ini tidak lain tidak bukan kerana semua tahu parti yang boleh membawa kestabilan tidak lain tidak bukan hanya UMNO dan BN.

“Itu asas, sebab jika stabil ada masa depan tidak stabil tiada masa depan. Jika tidak stabil cari ketua kampung dia tidak jumpa. Atas sebab itu ia menjadi asas dan ini pun yang BN janjikan kepada rakyat kestabilan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pembubaran Bersatu Cawangan Molek Harmoni di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, seramai 50 ahli Bersatu termasuk ketua cawangan dan ahli jawatankuasa di kawasan itu keluar parti dan menyokong UMNO.

Khaled percaya mereka yang keluar daripada Bersatu dan kembali menyokong UMNO telah sedar UMNO banyak membantu rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum di Johor.

Sebelum itu, pada 27 Januari lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga merupakan Ketua Bersatu Bahagian Tebrau mengumumkan keluar parti bersama 23 individu lain dan akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beberapa hari kemudian, bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad turut membuat pengumuman keluar daripada Bersatu serta merta dan menyokong BN.

Khaled juga mengakui apabila ramai pihak keluar daripada Bersatu dan menyokong BN pasti wujud tohmahan yang akan dilemparkan.

Katanya, ramai yang telah mula sedar kepincangan kepimpinan yang dibawa Bersatu dan mereka yang menyokong parti lain selain BN disebabkan terpengaruh dengan emosi dan persepsi.-MalaysiaGazette