Mohd.Zahid Ismail

JOHOR BAHRU – “Selama kira-kira dua tahun kami berjuang bersama Bersatu di cawangan ini tetapi rasa seperti tidak dihargai.”

Itu pengakuan bekas Ketua Bersatu Cawangan Molek Harmoni, Mohd. Zahid Ismail bersama 50 lagi ahli-ahli lain yang  sepakat mengambil keputusan keluar parti serta merta di sini malam tadi.

Tindakan itu dilakukan kerana kecewa dengan tindakan kepimpinan Bersatu peringkat negeri yang tidak ambil peduli terhadap mereka.

“Dalam tempoh situasi mencabar akibat pandemik Covid-19 sebelum ini pun tiada sebarang bantuan diberi sebaliknya kami hanya menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mana mereka? Saya terlalu kecewa.

“Keputusan ini (keluar parti dan bubar cawangan) dibuat kerana kami telah hilang kepercayaan terhadap parti dan kepimpinan, sama ada peringkat negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pembubaran Bersatu Cawangan Molek Harmoni di sini malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam majlis itu, Mohd. Zahid menyerahkan borang keahlian UMNO kesemua 50 bekas ahli Bersatu cawangan itu kepada Mohamed Khaled yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita Bersatu Cawangan berkenaan, Zulimawati Sharkawi, memberitahu, tindakan keluar parti dilakukan kerana merasakan tiada manfaat yang diterima sepanjang lebih dua tahun penglibatannya.

Zulimawati

“Tindakan yang dilakukan kami ini dibuat secara sukarela, langsung tiada paksaan atau pun habuan yang ditawarkan. Saya dan rakan-rakan lain sebulat suara dengan ikhlas untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

“Sekarang kami percaya memang UMNO dan BN yang mampu membela rakyat khususnya di peringkat akar umbi,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Alasan tak betul tu. Sebenarnya ksmi keluar bersstu kerana bersatu tak boleh menang untok jadi kerajaaan. Itu baru tepat

Comments are closed.