Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi amaran tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan atas menaikkan harga barangan keperluan makanan asas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan, amaran itu diberikan khusus kepada pemain industri ayam dalam negara.

Kata beliau, tindakan mereka mempermainkan isu kenaikan harga ayam dan telur menyebabkan berlaku harga yang tidak seimbang di pasaran tempatan.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan serius jika pemain industri ini terus mempermainkan isu itu sehingga membebankan pengguna yang berdepan dengan kenaikan harga melambung.

“Jangan salahkan kerajaan jika mereka berdepan dengan tindakan tegas,” katanya di Pasir Puteh, Kelantan semalam.

Menurut Dr. Nik Muhammad Zawawi, kerajaan menerima banyak maklumat mengenai tindakan itu termasuk ada yang mengugut hendak membakar anak ayam semata-mata kerana ingin menaikkan harga.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, kerajaan mempunyai perancangan jangka panjang dan pendek dalam menyelesikan masalah itu.

Ini katanya, termasuk termasuk meluluskan lesen import ayam dan telur dari luar negara bagi menstabilkan harga di pasaran tempatan supaya tidak membebankan pengguna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast