Mohamed Khaled Nordin.

JOHOR BAHRU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan poster boy bukan pokok utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Namun, perkara yang menjadi keutamaan adalah manifesto yang ingin dirangka dan membolehkan Johor menjadi sebuah negeri yang maju.

Katanya, poster boy tidak membawa makna sekiranya ia tidak boleh membawa kemajuan untuk negeri ini.

“Yang penting ialah apa manifesto yang kita nak buat dan yang penting pada akhirnya mampu atau tidak kita ini membawa kebaikan kemajuan kepada negeri Johor.

“Sekarang ini bukan soal ada siapa jadi poster boy, bukan itu. Soalnya ialah apa yang boleh menjadikan Johor ini terus maju terus membangun dalam negara.

“Soal poster boy ini, kalau nak ada tetapi tidak boleh majukan Johor tidak jadi apa,” katanya mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mencabar UMNO supaya menggunakan Datuk Seri Najib Razak atau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai poster boy menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebelum ini, Wan Saiful mahukan parti itu membawa nama individu yang disifatkan bermasalah dan mereka perlu membuktikannya dengan memaparkan dua pemimpin itu sebagai poster boy.

Tegas Khaled lagi, permintaan Ketua Penerangan Bersatu itu tidak mendatangkan manfaat.

“Jadi saya ingat perangai Bersatu ini pergi membawa perkara sebenar bukan boleh mencapai matlamat kita adakan pilihan raya hari ini.

“Kita berperangai ini bukan nak pastikan siapa jadi poster boy, kita nak pastikan kita boleh hidupkan kerajaan kuat kukuh dan Johor dapat dimajukan.

“Bukan soal poster boy. Itu dia punya hal, lantaklah tetapi tak perlu suruh UMNO,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast