Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Gabungan muda dan lama boleh menghasilkan sesuatu yang lebih menyeluruh serta hebat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau memahami aspirasi orang muda yang mahu didengari dan diwakili.

“Saya menyertai politik pada usia muda. Saya sangat memahami aspirasi mereka. Tambahan pula, orang muda ada idea baharu, segar dan bertenaga.

“Yang lama berpencak, yang muda melonjak,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Baru-baru ini, Persatuan Pengundi Muda (UNDI18) menjangkakan hampir 750,000 pengundi baharu termasuk anara berusia 18 hingga 20 tahun akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dalam kenyataannya, UNDI18 menjelaskan, PRN Johor yang pertama membenarkan pemilih dalam kalangan umur 18 hingga 20 tahun untuk menjadi pengundi selepas diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu.

Pelaksanaan UNDI18 di Johor menandakan penambahan hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun.

Ahmad Zahid, mengajak anak muda Johor keluar beramai-ramai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Beliau mahu golongan itu mengambil peluang berkenaan untuk melunaskan hak dan tanggungjawab dalam demokrasi. – MalaysiaGazette